Pasukan pembangunan hoki negara berjaya menyelesaikan masalah pukulan sudut penalti, namun fliker skuad itu, Firdaus Omar, kecewa apabila gagal menghalang kekalahan 1-3 di tangan New Zealand dalam Piala Dunia Remaja 2016, malam tadi.

Firdaus berkata, permulaan baik yang ditunjukkan skuad negara musnah serta-merta selepas pemain leka di penghujung perlawanan.

"Bagi saya, kami bermula dengan baik tetapi sedikit kelekaan pada minit-minit akhir membuat kami sekali lagi mengalami kekalahan," katanya.

"Saya mengikut apa yang dinasihati jurulatih mengenai apa yang saya perlu buat. Semua pemain memberikan fokus ketika mengambil pukulan sudut penalti, dan Alhamdulillah saya berjaya memecah kebuntuan gol."

Dalam aksi di Stadium Major Dhyan Chand, Lucknow, India itu, New Zealand membuka tirai jaringan menerusi Oliver Logan pada minit ke-13.

Gol itu membakar semangat pemain negara untuk meningkatkan serangan hingga berjaya meraih pukulan sudut penalti pada minit ke-28.

Usaha itu berhasil apabila Firdaus menyamakan kedudukan menerusi tolakan kencang.

Selepas rehat, New Zealand menyerang bertubi-tubi, termasuk menerusi pukulan sudut penalti, bagaimanapun, sukar menewaskan Firdaus selaku pelari pertama negara.

Junior Black Stick kekal tenang dan kembali di depan menerusi penyerang, Robbie Capizzi, pada minit ke-56.

Malaysia kemudiannya beraksi dengan sembilan pemain apabila kapten, Najib Abu Hassan, dan Amirul Aideed Md Arshad dilayangkan kad kuning.

New Zealand menggunakan peluang itu untuk meledak gol ketiga menerusi Sam Lane pada minit ke-60.

Skuad negara akan menentang Australia dalam perlawanan penentuan tempat ke-11/12 Sabtu ini, bagi menebus kehampaan malam tadi.