Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, melontarkan keyakinan tinggi terhadap 18 pemain yang dipilihnya bagi melunaskan misi untuk menjadi salah satu daripada dua pasukan terbaik dalam Kejohanan Final Siri Hoki Lelaki Dunia di Bukit Jalil, bermula Jumaat depan.

Bagi memastikan sasaran juara yang ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kejohanan yang turut merupakan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, empat pemain yang sudah pulih daripada kecederaan, iaitu Sukri Abdul Mutalib, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Shahril Saabah dan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman, akan kembali memperkuatkan skuad kebangsaan.

Oltmans ketika ditemui berkata: "Saya memilih pemain yang saya yakin mempunyai keupayaan terbaik untuk merealisasikan apa yang perlu kami lakukan, iaitu melangkah ke perlawanan kelayakan terakhir, hujung tahun nanti.

"Sudah semestinya kejuaraan menjadi matlamat utama tetapi apabila kejohanan bermula, kami akan melaluinya dengan satu-satu perlawanan.

"Dalam masa sama, saya mempunyai keyakinan cukup tinggi terhadap barisan pemain yang dipilih kerana saya percaya mereka akan menyelesaikan tugas dengan baik.

"Saya cukup teruja untuk menantikan kejohanan itu bermula," katanya.

Dalam pada itu, Oltmans turut berkeyakinan kepulangan empat pemain itu akan menambah kekuatan pasukannya.

"Saya melakukan beberapa rombakan daripada skuad Piala Sultan Azlan Shah sebelum ini selepas kembalinya pemain berpengalaman seperti Sukri, Syed, Shahril dan Hafizuddin.

"Saya mengekalkan 14 pemain yang beraksi dengan baik dalam kejohanan di Ipoh itu kerana percaya mereka akan bermain bermati-matian," tambahnya.

Senarai 18 Pemain:
Muhammad Hairi Abdul Rahman (Penjaga gol)
Muhammad Hafizuddin Othman (Penjaga gol)
Mohamad Sukri Abdul Mutalib (Pertahanan)
Muhammad Razie Abdul Rahim (Pertahanan)
Faiz Helmi Jali (Pertahanan)
Muhammad Najmi Farizal Jazlan (Pertahanan)
Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (Pertahanan)
Muhammad Marhan Mohd Jalil (Tengah)
Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (Tengah)
Meor Muhamad Azuan Hassan (Tengah)
Mohd Fitri Saari (Tengah)
Mohd Ashran Hamsani (Tengah)
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (Penyerang)
Nor Syafiq Sumantri (Penyerang)
Muhammad Shahril Saabah (Penyerang)
Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (Penyerang)
Muhammad Firhan Ashari (Penyerang)
Faizal Saari (Penyerang)