Terengganu Hockey Team (THT) akan menjadi halangan terakhir untuk UniKL merealisasikan mendakap tiga kejuaraan buat musim kedua berturut-turut.

Berbekalkan jaringan 2-0 ke atas Maybank dalam pertemuan pertama separuh akhir Piala TNB, Ahad lalu, THT melebarkan kelebihan itu seawal minit ke-3 pertembungan timbal balik di Stadium Hoki Bukit Jalil itu, petang tadi.

Ledakan Sufi Ismat Rohulamin pada minit ke-39 menyentak semangat juang Maybank -- yang berhasil mengikat kedudukan 1-1 dalam suku kedua -- untuk menjamin kemaraan ke pentas akhir dengan agregat 4-1.


THT played a patient game tonight to beat Maybank 2-1 in the second leg, semifinals as they booked their place in the...

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Wednesday, March 31, 2021


Dalam masa sama, Juara Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (LHM), UniKL, pula tiga kali menggegar gawang lawan dalam suku terakhir bagi memadam sisa kebangkitan TNB.

Barisan kendalian Megat Azfariq Megat Termizi itu terbukti mengotakan kata-kata mereka untuk mengasah penyudah mereka selepas sekadar menang tipis 1-0 dalam perlawanan pertama layak ke final, juga dengan agregat 4-1.

Sementara itu dalam saingan Piala Vivian Soars, PKS Uniten-KPT berpeluang mengekalkan kejuaraan apabila melepasi rintangan PDRM Blue Warriors.

Walaupun perhitungan hari ini masing-masing sama handal 1-1 tetapi peraturan gol tempat lawan memihak juara bertahan itu berikutan 3-3 yang direkodkan dalam pertemuan pertama.


UniKL Ladies in final of the Vivian May Soars Cup 2021 following their easy 11-0 win aggregate win over Sabah in the...

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Wednesday, March 31, 2021

Kemenangan 3-0 UniKL Ladies ke atas Sabah hari ini hanyalah dianggap sebagai pemanas badan menjelang final Sabtu ini.

Juara liga itu meningkatkan harapan mereka untuk menambah koleksi gelaran mereka musim ini selepas mencipta kemenangan bergaya 8-0 dalam aksi pertama, hujung minggu lalu.