Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menambah kuota kelayakan ke Piala Dunia 2022/23, menerusi kejohanan-kejohanan kontinental, daripada enam ke 11 buah negara.

FIH dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan keputusan itu dibuat lembaga eksekutifnya selepas merujuk kepada Persekutuan-Persektuan Kontinental dan Jawatankuasa Atlet FIH berikutan penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke tahun depan selain kejohanan-kejohanan kontinental yang telah dijadualkan semula akibat pandemik Covid-19.

Mengikut format baru itu, lima juara kontinental, tuan rumah piala dunia dan lima negara mengikut ranking terakhir dalam Kejohanan Kontinental 2021 yang relevan, akan mendapat tiket kelayakan automatik ke Piala Dunia 2022/23.

Berdasarkan peruntukan daripada Kejohanan Kontinental 2021 masing-masing, juara Afrika, dua pasukan terbaik Asia, Oceania, Pan-Amerika dan negara-negara Eropah, akan menyertai tuan rumah Piala Dunia Wanita 2022, Sepanyol dan Belanda, untuk beraksi dalam Piala Dunia.

Bagi Piala Dunia Lelaki 2023 pula, slot kelayakan automatik akan diberikan seperti berikut -- empat pasukan terbaik Kejohanan Eropah, juara Afrika dan Pan Amerika, dua pasukan terbaik benua Oceania dan tiga pasukan Asia terbaik (termasuk tuan rumah Piala Dunia, India).

Sebelum ini, hanya juara lima Kejohanan Kontinental dan tuan rumah akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia.

-- BERNAMA