Faizal: Tolong beritahu apa yang tidak kena

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Jun 2020 2648
 Faizal: Tolong beritahu apa yang tidak kena
Pemain Terengganu Hockey Team (THT), Faizal dan Fitri Saari, yang sebati dengan skuad hoki kebangsaan terkilan kerana masih bingung dipinggirkan dalam perancangan jurulatih, Roelant Otlmans. 

Pengendali Kelahiran Belanda itu mengambil tindakan drastik apabila menggugurkan dua bintang berkenaan sejak Februari lalu sehingga mencetuskan tanda tanya. 

Faizal dianggap masih merupakan penyerang elit negara dalam kancah Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 dengan reputasi 14 gol manakala Fitri bertindak selaku ketua pasukan THT.

"Sampai ke hari ini saya, Fitri dan beberapa beberapa pemain lagi digugurkan.

"Saya tidak pernah terlepas latihan sepanjang empat tahun ini cuma dua atau tiga kali sahaja datang lambat. Tetapi saya tetap akan datang kerana saya menghormati pasukan kebangsaan, semua orang mahu bermain untuk Malaysia.

"Sepanjang setahun di bawah kendalian Oltmans, setiap hari saya datang berlatih," katanya Faizal kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.






Justeru, dia berharap diberi kesempatan untuk menebus sebarang kesilapan dalam usaha merebut kembali tempatnya dalam The Malaysian Hockey Tigers. 

"Kepada jurulatih, jika ada kesalahan yang saya terlepas pandang, tolong beritahu saya kalau beliau ada perasaan tidak berpuas hati.

"Saya bersikap profesional, kalau suka cakap suka, kalau tidak katakan tidak," katanya lagi.

Fitri pula terkilan dan berharap kekeruhan itu segera berlalu dengan harapan dapat kembali ke pangkuan skuad negara. 

"Kami tiada masalah dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mahupun (Presiden, Datuk Seri) Subahan Kamal, cuma kami menghadapinya dengan jurulatih sahaja. 

"Hanya Oltmans sahaja yang mempunyai jawapannya (sebab menggugurkan mereka) tetapi dia tidak memberi jawapannya.

"Bagi saya, selagi (skuad negara) dibimbingnya, saya sukar untuk kembali ke pangkuan negara melainkan jurulatih ditukar," katanya.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen