Pertembungan di antara penyerang hoki negara, Faizal Saari, dan mesin penjaring gol India, Rupinder Pal Singh, akan menjadi tumpuan dalam aksi keempat Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia malam ini kerana masing-masing sedang berebut gelaran penjaring terbanyak kejohanan.

Faizal mengungguli senarai penjaring terbanyak buat Malaysia setakat ini dengan empat gol untuk membuktikan dia masih lagi memiliki ketajaman di peringkat antarabangsa walaupun sudah 14 bulan tidak menyertai skuad negara.

Penyerang kelahiran Kelantan itu menjadi harapan utama merobek pintu gol India dengan kemampuan jaringan padang, pukulan sudut penalti dan penalti stroke.

"Melihat kembali kepada perlawanan lalu, kami lebih berdaya saing. Saya berharap kami mampu untuk mengekalkannya dan meneruskan momentum kecemerlangan tersebut.

"India merupakan salah sebuah pasukan yang bagus, salah sebuah pasukan di Asia yang layak ke Olimpik.

"Jadi, kami perlu melakukan persiapan rapi, bermain dengan bijak dan pandai untuk memerangkap mereka," kata Faizal.

Sementara itu, pertahanan India, Rupinder, yang bukan calang-calang pemain, mengetuai kejayaan skuad itu membelasah China 9-0 semalam -- kemenangan terbesar mereka di Kuantan.

Rupinder kini mengumpul lapan gol, dua kali ganda berbanding jaringan Faizal.

"Semuanya berjalan dengan lancar, kami akan mengikuti perancangan yang telah ditetapkan oleh jurulatih dan menterjemahkannya di atas padang.

"Kami perlu melakukan perancangan yang rapi untuk perlawanan tersebut. Lihat nanti apa yang akan berlaku," kata Rupinder.

Malaysia menentang India dalam perlawanan keempat Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, Pahang pada jam 8.30 malam ini.