Penyerang, Faizal Saari, merupakan antara pemain paling konsisten dalam skuad hoki negara apabila menjaringkan gol dalam kedua-dua aksi persahabatan menentang New Zealand walaupun Malaysia tewas 3-4 dalam aksi terbaru, semalam.

Faizal jelas berada di landasan tepat menuju ke Piala Dunia 2018.

Dua gol dalam kedua-dua perlawanan itu membuktikan ketajaman konsisten berdepan lawan di ranking kesembilan dunia itu.

Apa yang membanggakan, dia turut terbabit dalam kedua-dua gol Malaysia menerusi pukulan sudut penalti.

"Kebanyakan jaringan dalam perlawanan itu terhasil daripada pukulan sudut penalti.

"Saya harap di dalam perlawanan terakhir nanti, kami dapat menghasilkan gol padang melalui sentuhan barisan penyerang," kata Faizal.

Gol Malaysia dijaringkan Faizal, Firhan Ashaari dan pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor.

Gol New Zealand pula dihasilkan menerusi George Muir, Aidan Sarikaya dan dua gol peribadi Kane Russell.

Ia kekalahan kedua Malaysia selepas tewas 1-2, minggu lalu.

"Kami gagal menangani tekanan yang diberikan New Zealand.

"Kami tidak dapat beraksi baik di atas padang dengan corak permainan seperti itu," kata ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans.

"Ia persediaan yang baik menjelang Piala Dunia.

"Kami berdepan pasukan yang baik seperti Malaysia.

"Ia dua perlawanan yang baik buat kami dan itulah yang kami perlukan sebelum menghadapi Piala Dunia," kata jurulatih hoki New Zealand, Darren Smith.