Faizal mahu kembali sarung jersi kebangsaan

Oleh Nafis Abdullah 4 Jun 2020 165
Faizal mahu kembali sarung jersi kebangsaan
Penyerang hoki negara, Faizal Saari, menyuarakan hasrat kembali ke pangkuan skuad kebangsaan untuk membantu kempen Piala Asia yang dijadualkan tahun depan. 

Faizal dan adiknya, Fitri Saari, digugurkan daripada skuad kebangsaan pada Februari bagi memberi laluan kepada pembentukan pasukan baru.

Namun, barisan depan dijangka terjejas tanpa Faizal dan kini dia menyatakan hasrat itu tatkala Malaysia berpeluang cerah mara ke Piala Dunia 2023.

Peledak utama Terengganu Hockey Team (THT) itu yakin dapat membantu malaysia raih tiga slot daripada Piala Asia tahun depan jika diberi peluang kedua.

Malah, ia peluang terbaik untuk memastikan Malaysia mencatat penampilan hatrik ke Piala Dunia.

"Memandangkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengeluarkan format baru, Malaysia berpeluang cerah ke Piala Dunia. Ketika ini saya tiada dalam skuad tetapi jika dipanggil, saya berbesar hati dan tidak sabar untuk menyumbang kudrat," katanya.

Sejak digugurkan, Faizal telah mewujudkan akademi hoki tetapi terjejas ekoran pandemik Covid-19 sambil Fitri pula sudah mendapatkan pekerjaan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Namun, mereka diakui masih lagi antara yang terbaik untuk skuad negara.

"Jika digugurkan kerana tidak cukup bagus, saya rasa itu tidak tepat. Namun, kalau digugurkan kerana isu peribadi atau disiplin, mereka perlu ubah untuk menyertai kem kebangsaan. Pasukan negara bukan seperti saingan di peringkat kelab," ujar kapten skuad Piala Dunia 1998, Nor Saiful Zaini. 
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen