Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, berjaya mendapatkan 'sijil tanpa bantahan' untuk menyertai Kelab Hoki Sohar dalam Liga Oman bermula Rabu ini.

Oman akan menjadi negara keempat buat Faizal selepas beraksi di Jerman, India dan Australia.

Sehubungan itu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memberi lampu hijau untuk penyerang berbisa itu walaupun skuad kebangsaan akan menyambung semula sesi latihan pada Isnin depan.

Ia perkembangan positif buat Faizal bagi melebarkan sayapnya ke luar negara.

"Sebenarnya, satu dunia telah sedar bahawa Malaysia memiliki pemain-pemain yang berbakat.

"Jadi, kali ini saya dapat peluang dari Oman dan saya akan pergi bersama beberapa pemain lain," katanya.

Sementara itu, dua lagi bekas pemain remaja negara yang turut ditawarkan ke Kelab Hoki Sohar ialah Hafiz Zainol dan Kavin Kartik.

Liga Hoki Oman bermula 1 November lalu dan akan tamat 20 Disember depan.

"Saya langsung tidak memikirkan tentang habuan dan hanya mahu keluar, belajar sebanyak yang mungkin. Rezeki akan tiba, kita hanya perlu bersabar," kata Hafiz.

Ketiga-tiga pemain itu akan berlepas ke Oman, esok.