Ketajaman Faizal Saari dalam mengemudi jentera serangan skuad hoki Malaysia dengan menyumbat dua gol dalam aksi sulung Trofi Juara-Juara Asia ketika membenam Pakistan 4-2 malam ini, mendapat pujian Stephen Van Huizen.

Jurulatih negara itu kembali menyenaraikan Faizal selepas 14 bulan terpinggir daripada membarisi skuad The Malaysian Hockey Tigers.

"Bagi seorang pemain yang sudah lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa, ia adalah permulaan baik.

"Kemampuannya tidak boleh diragui lagi, dia sememangnya seorang pemain yang bagus.

"Saya harap dia tidak terbawa-bawa (dengan kemenangan ini) kerana masih banyak lagi yang perlu diperbaikinya memandangkan kejohanan ini hanya bertaraf Asia," kata Van Huizen.

Bagi Faizal sendiri, dua jaringannya itu mampu mencetuskan semula kemampuan sebenar untuk terus membantu pasukan negara.

"(Dua jaringan itu) sangat bagus untuk saya dan memang niat saya untuk membantu pasukan.

"Ini akan membantu saya mendapatkan semula sentuhan saya seperti sebelum ini," katanya.

Kerancakan perlawanan itu terhenti seketika pada pertengahan saingan ekoran hujan lebat yang melanda Kuantan.

"Hujan menyebabkan perlawanan terhenti kira-kira 12 minit, ketika itu kami sedang mendahului 2-1 dengan tempo permainan yang tinggi.

"(Faktor) itu membantu Malaysia," kata jurulatih Pakistan, Muhammad Khawaja Junaid.