Susulan pencabar jawatan nombor satu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Kamarudin Meranun, hilang kelayakan untuk bertanding 16 November ini, beberapa individu daripada kem sama turut mengisytiharkan untuk menarik diri daripada pemilihan mesyuarat agung tahunan badan induk itu.

Kamarudin seharusnya menghadiri sidang media semalam, namun tidak hadir. Sebaliknya, salah seorang pencabar untuk jawatan naib presiden, Datuk Majid Manjit Abdullah, tampil memberikan penjelasan.

Sekurang-kurangnya enam individu daripada kem Kamarudin menarik diri susulan pengumuman dibuat Jawatankuasa Perundangan KHM bahawa Kamarudin tidak mendapat pencalonan minimum sekurang-kurangnya daripada tiga badan gabungan untuk layak bertanding.

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa calon yang akan bertanding bagi pemilihan penggal baru KHM mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selama satu jam di ibu negara kira-kira jam 2.30 petang sebelum itu.

"Kami hadir sebagai satu pasukan untuk berkhidmat bersama KHM. Kamarudin memiliki visi, namun politik kotor telah disaksikan dan ia merupakan faktor kami memilih untuk menarik diri," kata Majid.

Antara yang akan menarik diri ialah bekas kapten hoki skuad wanita, K. Maheswari, yang sebelum ini bakal membuat pertembungan satu lawan satu dengan Timbalan Presiden, Prof. Datuk Dr. S. Shamala.

Difahamkan juga, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal, juga bakal menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

"Kami hadir sebagai satu pasukan, kami mahu menang sepasukan dan keputusan menarik diri ini juga adalah sepakat yang dicapai antara kami," kata Maheswari.

Sementara itu, Jawatankuasa Perundangan KHM menegaskan calon yang tidak layak bertanding tidak boleh membuat sebarang rayuan memandangkan ia sudah termaktub dalam perlembagaan KHM.

Tarikh tutup untuk mana-mana ahli gabungan menamakan calon masing masing untuk pemilihan penggal baru adalah 2 November lalu, dengan dokumen perlu dihantar sebelum jam 3 petang.

Bagi calon yang berhasrat untuk menarik diri pula, surat makluman mereka harus diserahkan kepada KHM selewat-lewatnya Jumaat ini.

"Individu yang mahu bertanding jawatan presiden memerlukan tiga pencalonan dan setiap perkara yang dilakukan dalam persatuan ini mengikut peraturan yang telah ditetapkan," kata Jadadish.