Enam bintang import perkasa UniKL 

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2017 445
Enam bintang import perkasa UniKL 
Jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, menyasarkan satu trofi dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018 apabila The Young Guns bakal dibarisi enam pemain import berkualiti yang diketuai penjaga gol terbaik dunia, David Harte dari Ireland. 

Selain dari Ireland, UniKL turut berjaya memancing pemain import Australia dan Belanda. 

Antara yang turut memperkuatkan The Young Guns ialah tonggak Australia, Glenn Turner, Kieran Govers dan Timothy Deavin. 

"Ia bermula dengan David Harte, saya sudah lama mengenalinya dalam kancah liga Ireland. Dia berkata jika liga hoki India tidak diadakan, dia mahu bermain dengan pasukan kami.

"Lalu, saya menggunakan (pengaruhnya) untuk mendapatkan pemain-pemain lain kerana kredibilitinya selaku penjaga gol terbaik dunia," kata Arul.

Dua bekas pemain kebangsaan Belanda turut berada dalam senarai, namun ia belum cukup meyakinkan Arul untuk merangkul trofi LHM, bermula bulan depan. 

"Sasaran peribadi saya adalah membawa pasukan ke perlawanan akhir. Tahun lepas, kami mencapai sasaran ke separuh akhir dan tahun ini kami mahu ke perlawanan akhir. 

"Dengan kehadiran pemain seperti ini, kami setidak-tidaknya mahukan satu piala," katanya lagi. 

Musim lalu, UniKL meraih tangga ketiga liga di belakang juara, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Terengganu Hockey Team (THT). Kedua-dua pasukan itu mendominasi LHM sejak 2014 hingga sukar digugat pasukan kerdil. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen