Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, menyifatkan peluang terbaik Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ialah dengan meraih pingat emas Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Ia susulan tindakan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengubah sistem kelayakan yang menyukarkan laluan Malaysia apabila memperkenalkan format siri hoki menggantikan siri dunia sebagai kelayakan ke Olimpik Tokyo.

Malaysia akan menyertai salah satu daripada tiga siri final, di mana setiap finalis akan bertanding dalam kejohanan kelayakan Olimpik bersama pasukan liga profesional.

Enam pasukan terbaik kejohanan ketika kelayakan akan layak ke Tokyo bersama tuan rumah, Jepun, dan lima juara benua.

Justeru, peluang terbaik Malaysia ialah meraih emas di Indonesia atau terpaksa melalui cabaran sukar.

"(Format Siri Hoki) lebih sukar daripada Liga Hoki Dunia. Kalau sebelum ini keenam-enam pasukan boleh layak tetapi kini hanya dua finalis setiap siri akan mara (ke kejohanan kelayakan).

"Jadi, pintu pertama untuk kami melayakkan diri (ke Sukan Olimpik) adalah melalui Sukan Asia. Kami kena ambil ini sebagai peluang untuk layak," kata Kumar.

"Kami tiada pilihan lain, kami perlu menjuarai Sukan Asia untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 sebab sistem baru FIH ini agak merumitkan," tambah pemain negara, Faiz Helmi Jali.

"Format baru ini sangat sukar. Kami perlu kaji sebarang kelebihan untuk kami dalam format itu.

"Setiap kelayakan adalah sukar, tambahan pula pemain-pemain akan berdepan tekanan.

"Peluang kami adalah menerusi Sukan Asia sambil berharap dapat layak secara automatik," ujar jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen.