Dua pemain muda pasukan hoki Hockademy, Zafri Afiq Nor Azlan dan Muhammad Fikri Amer Runnizar, bakal mencatat sejarah selepas terpilih membarisi Kelab Hoki Greater Dandenong Warriors selama enam bulan bagi saingan liga hoki Australia.

Kedua-dua pemain itu terpilih selepas kelab yang berpangkalan di tenggara Melbourne itu, berpuas hati dengan kiriman video rakaman corak permainan mereka yang dipamerkan.

Zafri dan Fikri dijangka bertolak ke Melbourne bulan depan selepas selesai urusan visa dan pelepasan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

"Kedua-dua pemain ini akan berada di Australia bermula April hingga Oktober ini. Pengalaman yang diraih adalah sesuatu yang sangat bagus buat mereka dan Hockademy," kata Presiden Hockademy, Dato' Sri Megat D. Shahriman Zaharudin.

Sementara itu, ketua jurulatih Hockademy, S. Selvaraju, berharap anak buah kendaliannya bakal memanfaatkan peluang keemasan berkelana ke Australia sebaik mungkin.

"Ini merupakan kali pertama mereka beraksi di luar negara dan pengalaman di sana adalah bagus buat perkembangan mereka," kata Selvaraju.