Kekalahan kepada dua kelab Belanda tidak menggambarkan keupayaan sebenar skuad hoki negara, namun wujud persoalan mengenai kekuatan psikologi pemain menjelang perlawanan menentang Great Britain dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 di gelanggang lawan hujung minggu ini.

Malaysia tewas 1-4 kepada HOC Gazellen-Combinatie sebelum tumbang 2-4 kepada HC Bloemendaal di Belanda.

Ia merupakan aksi pemanas badan terakhir sebelum skuad kendalian Roelant Oltmans itu menentang Great Britain di London.

Perlawanan di Belanda itu sepatutnya menjadi medan untuk meningkatkan keyakinan pemain kerana kedua-dua kelab berkenaan kehilangan khidmat pemain kebangsaan negara itu.

Namun, bekas pemain negara tetap bersikap positif.

"Adakalanya keputusan perlawanan tidak penting kerana ia mencapai objektif dan matlamat.

"Roelant dibantu oleh tiga tenaga pakar lain, iaitu Michael McCann, Taeke Taekema dan Martijn Drijver, jadi mereka hanya mahu melihat hasilnya di sana," kata bekas pemain tengah skuad negara, I. Vickneswaran.

"Pemain sudah pasti cuba mengelak daripada kecederaan.

"Selalunya, sebelum perlawanan sebenar, apabila pukulan sudut penalti diterima pasukan lawan, jurulatih akan memberitahu pemain supaya tidak menahan bola dengan menggunakan badan kerana tidak mahu cedera," tambah bekas kapten skuad negara, Datuk Mirnawan Nawawi, pula.

Sementara itu, pemain tengah skuad negara, Fitri Saari, mengakui masalah kehilangan fokus dalam dua suku terakhir menjadi punca mereka tewas dalam kedua-dua perlawanan itu.

Ia bukan persiapan yang dimahukan The Malaysian Hockey Tigers sebagai pasukan di ranking ke-11 dunia.

Namun, ia tidak mencerminkan keupayaan sebenar Malaysia untuk mencipta kejutan ke atas Great Britain, yang juga bekas pemenang dua pingat emas dalam Sukan Olimpik.

"Semua berjalan lancar dan semua pemain sudah membiasakan diri dengan cuaca di sini (London).

"Tiada masalah kecederaan sewaktu beraksi di Belanda.

"Sewaktu di sana, kami hanya perlu menambah fokus dalam suku terakhir sehingga perlawanan tamat.

"Kami akan bermain bermati-matian dalam dua perlawanan ini (menentang Great Britain)," katanya.