Hanis Nadiah Onn menjadi nadi buat skuad Johor untuk memastikan tiga mata diraih selepas menang 2-1 ke atas Melaka dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Kejohanan Hoki Wanita Piala Razak 2017 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, petang tadi.

Johor, yang sebelum ini tewas 0-1 kepada ATM dalam aksi pertama, bangkit dalam perlawanan kedua untuk meraih kemenangan ke atas Melaka.

Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan gol awal daripada Melaka pada minit ketujuh perlawanan oleh Nur Aisyah Yaacob menerusi pukulan sudut penalti.

Johor menyamakan kedudukan pada awal suku kedua daripada pemain kebangsaan, Hanis, sebelum dia menambah gol kedua untuk memastikan Johor di depan, seminit kemudian.

Pengendali Johor, Lailin Abu Hassan, menyifatkan percaturan melakukan hantaran yang lebih teratur berbanding aksi pertama menjadi kunci utama untuk Hanis meledakkan dua gol dalam masa dua minit.

"Saya banyak menumpukan kepada kesilapan yang dilakukan ketika bertemu ATM dan pemain-pemain faham dengan percaturan untuk menentang Melaka," katanya.

Bagi jurulatih Melaka, Dr Mohd Aras Khamis, dia menganggap anak buahnya tidak mengharungi proses persiapan yang cukup rapi untuk berdepan skuad Johor yang mempunyai pemain daripada skuad kebangsaan.

"Kami kekurangan latihan daripada segi kecergasan dan fizikal, masa yang singkat juga memainkan peranan.

"Perlawanan pada hari ini pada jam 3 petang dengan cuaca panas juga menjadi faktor dan yang pasti, kami telah kehilangan tiga mata penting," ujarnya.