Tenaga Nasional Berhad (TNB) berada di landasan tepat sebagai persediaan menjelang pembukaan musim baru Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 dengan sasaran dua trofi kekal dalam perancangan.

Barisan kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu telah memulakan sesi latihan seawal bulan lalu dan berjaya membentuk keserasian antara mereka.

Ditambah aksi persahabatan bersama pasukan seperti Maybank dan TNB Thunderbolts, dia yakin barisan pemainnya kini di prestasi terbaik untuk bersaing dalam musim baru LHM yang bakal bermula 10 Januari ini.

"Kami akan berusaha untuk melangkah ke final dan cuba memenangi setiap gelaran yang dipertandingkan. Saya berasakan jika kurang kesilapan dilakukan, sudah pasti kami mampu menghasilkan kejayaan. Namun, saya tetap menyedari kemampuan pasukan lawan," katanya.

Musim ini, TNB bakal hilang khidmat penyerang kebangsaan, Firhan Ashaari, disebabkan kecederaan lutut sejak Julai lalu selain Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang memilih berhijrah ke pasukan lain.

Sementara itu, jurulatih Maybank, Azrul Affendi Bistaman, enggan berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang dilihat belum menunjukkan keserasian, terutama bahagian serangan.

Azrul, yang dalam penampilan tahun kedua sebagai pengendali Maybank, berharap pasukannya yang rata-rata dibarisi muka baru mampu untuk mencabar pasukan lain.

"Kami akan cuba yang terbaik dalam saingan Piala TNB. Bagi saingan liga pula, kami akan berusaha untuk berada dalam kelompok tiga terbaik," katanya.

Lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita bakal berentap dalam LHM 2020 dengan aksi pembuka tirai menemukan Terengganu Hockey Team (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi merebut Piala Sumbangsih.