Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berikrar menghadiahkan satu piala selepas ditawarkan kontrak sebagai jurulatih Terengganu Hockey Team (THT) dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) bermula 10 Januari depan tatkala masih mempunyai tugas bersama skuad wanita kebangsaan sehingga 31 Disember ini.

Ia satu berita gembira kepadanya selepas kontraknya sebagai jurulatih wanita kebangsaan akan tamat hujung tahun ini.

Pengendali berusia 50 tahun itu ditawarkan kontrak bersama gergasi LHM berkenaan, sekali gus mengetepikan jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jong-ho, yang dikaitkan sebagai calon pilihan bagi menggantikan I. Vickneswaran.

Dhaarma memiliki rekod cemerlang apabila pernah membantu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menjuarai liga selama lapan musim berturut-turut sehingga 2013.

Justeru, ia petanda baik buat THT.

"Saya sangat gembira kerana sejak sekian lama, saya tidak melatih pasukan lelaki sejurus mengemudi skuad wanita.

"Ini satu peluang buat saya membuktikan bahawa pendekatan saya dalam pasukan wanita boleh berjaya bersama pasukan lelaki.

"Saya juga sedaya-upaya akan cuba memenangi satu piala," katanya hari ini.

Dhaarma dijangka menandatangani kontrak bersama kelab Pantai Timur itu hujung minggu ini sebelum memulakan sesi latihan pertama pada Isnin depan.