Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mahu melihat persaingan membabitkan anak buahnya dengan memberikan peluang kepada lapan muka baru berkhidmat untuk Malaysia.

Dhaarma mahukan persaingan seimbang untuk skuadnya dengan menegaskan status pemain senior bukan kunci mudah untuk anak buahnya meraih tempat dalam posisi masing-masing.

Beberapa nama lama tiada dalam pilihan Dhaarma kali ini, antaranya Nor Izaidah Ibrahim, Nurul Syafiqah Mat Isa dan Qasidah Najwa Muhammad Halimi.

Namun, senarai penuh hanya akan diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam masa terdekat.

“Saya sentiasa membuka pintu kepada pemain-pemain yang tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan kerana mereka masih lagi boleh membuktikan kebolehan dalam saingan liga hoki kebangsaan yang bakal bermula Januari ini,” katanya.

Tegas Dhaarma, demi kepentingan pasukan, beliau perlu ada perancangan untuk mencari pengganti merujuk kepada beberapa nama sedia ada yang sudah berusia.

Dhaarma turut menjelaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada pemain yang memiliki tahap kelajuan di atas padang dan lapan nama baru yang kini mengikuti latihan skuad negara memiliki kredibiliti yang diingininya.