Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, perlu memikirkan pengganti yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fazilla Sylvester Silin selepas usaha untuk mendapatkan pemain itu semakin tipis.

Pihak Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sudah pun mengutuskan surat rasmi meminta Fazilla dilepaskan daripada menjalani latihan bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Namun, sehingga kini masih tiada sebarang jawapan, dan masa kian suntuk untuk skuad Malaysia menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, 28 Oktober ini.

Jika dalam minggu ini masih tiada kata putus daripada pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia, maka Dhaarma sudah boleh berkira-kira untuk memanggil pemain lain untuk berada dalam skuad kebangsaan.

“Jika kami tidak mendapatkan kata putus daripada pasukan Bomba, saya terpaksa melepaskan khidmat Fazilla dan cuba mendapatkan pemain lain. Ia akan menyukarkan dirinya untuk menyesuaikan diri dengan pasukan,” kata Dhaarma.

Ketiadaan Fazilla ternyata dirasai oleh rakan sepasukan, apatah lagi Malaysia mempunyai misi untuk muncul juara dalam mengejar slot terakhir ke Piala Dunia 2018 di London.

Hanya 18 pemain yang akan disenaraikan dan skuad negara dijangka akan berlepas ke Jepun pada 23 Oktober ini.

“Ketiadaan Fazilla sedikit-sebanyak memberikan kesan kepada pasukan kerana dia merupakan antara pemain yang membantu menggerakkan pasukan ketika menyerang,” kata pemain hoki wanita negara, Siti Rahmah Othman.