Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, lega saingan Liga Hoki Wanita 2018 kini bertambah kepada tujuh pasukan selepas pasukan PDRM, UiTM dan
Kedah menyatakan kesediaan untuk beraksi.


Kehadiran tiga pasukan itu sekurang-kurangnya menyelamatkan persaingan Liga Hoki Wanita yang pada awalnya hanya membabitkan empat pasukan.

Ternyata persetujuan UiTM, Kedah dan PDRM untuk menyertai kejohanan menambahkan lagi kemeriahan saingan selain Dhaarma sendiri memiliki lebih banyak ruang untuk
menilai pemain bagi diserap ke dalam skuad negara.

"Selepas tarikh tutup penyertaan, terdapat tiga lagi pasukan yang mahu menyertai saingan Liga Hoki Wanita dan kini saingan bertambah kepada tujuh pasukan," katanya.

Pada awalnya, hanya Terengganu, PKS UNITEN, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menyatakan kesediaan untuk beraksi menjelang saingan Liga Hoki Wanita yang dijangka bermula 20 Januari ini.

Dharma turut mengharapkan saingan liga lebih menarik apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyatakan hasrat menjemput pasukan luar.

Ia lebih menarik jika diubah sedikit format perlawanan dengan menetapkan empat pasukan terbaik liga akan meneruskan aksi dalam saingan juara keseluruhan membabitkan tiga pasukan luar.

"Ia akan menjadi dua pertandingan, iaitu untuk kejuaraan liga dan empat pasukan teratas akan bersaing untuk muncul sebagai juara keseluruhan," katanya.