Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mempunyai pandangan berbeza mengenai perancangan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memanggil pulang semua 12 pemain yang beraksi dalam liga di Eropah jika skuad kebangsaan layak ke playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Persoalan tercetus sama ada hasrat KHM untuk membawa pulang pemain dari Eropah itu menjadi satu langkah yang baik atau tidak seandainya Malaysia meraih tiket beraksi dalam playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

Bagi Dhaarma, dia tidak melihat sebarang masalah kecuali kemungkinan akan menghadapi beberapa isu pada masa akan datang sekiranya berhasrat menghantar pemain ke Eropah.

"Bagi saya, bagus untuk membawa mereka pulang tetapi buat pemain, mereka sudah memberi komitmen kepada pasukan masing-masing sebaik sahaja dibenarkan menyertai kelab di sana," katanya.

"Namun, jika langkah ini diteruskan, ia mungkin menjejaskan hubungan dengan pasukan dari Eropah untuk masa akan datang."