Dari satu tempoh ke satu tempoh! Jurulatih hoki wanita negera, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, sudah hilang sabar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia apabila dikhabarkan perancang skuad negara, Fazila Sylvester Silin, bakal menyambung latihan selama tujuh bulan lagi.

Situasi itu membuatkan Dhaarma mengambil keputusan untuk bertemu sendiri dengan majikan Fazila memandangkan pemain itu sepatutnya tamat tempoh latihan bomba pada 10 Januari depan.

Ada kekesalan yang diluahkan Dhaarma kerana sebelum ini pihak bomba sudahpun mencapai kata sepakat untuk melepaskan Fazila selepas enam bulan tempoh latihan yang turut menafikan kelibat pemain itu dalam saingan Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, baru-baru ini.

"Apabila dah terkena sekali, saya mula berasa was-was sama ada dia akan kembali. Apabila terjadi seperti ini, saya seperti berdepan jalan buntu untuk membantu Fazila kerana dia merupakan tonggak pasukan kebangsaan. Kami amat memerlukan khidmatnya," katanya.

Jika pihak majikan Fazila tidak berganjak dengan keputusan lanjutan tempoh latihan bomba, Dhaarma menyarankan agar Fazila bersedia dengan keputusan persaraan kerana tiada apa lagi yang tinggal buat pemain berusia 29 tahun itu jika terlepas aksi Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan.

"Kalau Fazila tidak boleh kembali ke pangkuan skuad negara selepas tamat tempoh enam bulan, saya akan menyisihkannya. Lebih baik dia bersara kerana sukar untuk kami menunggunya lebih lama.

"Kalau dia terlepas Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang merupakan kejohanan selama empat tahun sekali, lebih baik dia bersara," katanya.

Dhaarma dijangka membuat pertemuan empat mata dengan pihak majikan Fazila selewat-lewatnya minggu depan.