Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menagih penyudah sempurna menerusi pertaruhan sembilan pemain di jentera serangan menjelang saingan Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, dari 28 Oktober hingga 5 November ini.

Ternyata, ketumpulan barisan serangan antara faktor utama menjurus kepada skuad hoki wanita negara pulang hampa dalam beberapa siri kejohanan, akhir-akhir ini.

Dhaarma tidak mahu lagi bergantung kepada pemain yang sering gagal mencetak jaringan dan pentas Piala Asia menjadi medan terbaik untuknya menilai pemain yang memiliki sentuhan penjaring sejati.

"Setiap kali mendapat peluang, walaupun banyak, kami tidak dapat menjaringkan gol.

"Saya tahu kami membawa ramai penyerang. Saya mahu pemain tahu kalau ketumpulan ini berterusan, saya akan menggugurkan mereka.

"Saya memerlukan pemain yang mampu menjaringkan gol," katanya.

Ketiadaan dua tonggak, Fazilla Sylvester Silin dan Hasliza Md Ali, bukan lagi isu buat The Malaysian Hockey Tigress.

Sasaran ke pentas separuh akhir tetap menjadi keutamaan dalam usaha mereka untuk menyamai atau mengatasi kedudukan yang pernah dilakar di Seoul, Korea Selatan, pada 1985.

"Kalau kami meraih tangga kedua (liga) dan seterusnya mungkin berdepan Thailand, kami mampu layak ke separuh akhir buat julung kalinya.

"Buat masa ini, kami akan fokus satu per satu perlawanan sebelum memikirkan separuh akhir," katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama China, Singapura dan India manakala Kumpulan B dibarisi Thailand, Jepun, Kazakhstan dan Korea Selatan.

Skuad negara akan membuka tirai pertandingan bertemu dengan China.