Selepas berhempas-pulas selama empat bulan, jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, akhirnya berjaya meyakinkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan pelepasan buat Fazila Sylvester Silin berlatih bersama skuad kebangsaan.

Dhaarma, yang ditemani penolong jurulatih, Lailin Abu Hassan, dan pengurus pasukan, Firdaus Ismail, mendapat perkhabaran positif berhubung perkara itu selepas bertemu Komandan Bomba Kuala Kubu Baru, Tuan Mohd Ali Ismail, semalam.

Fazila bakal menamatkan kursus latihan JBPM pada 28 Januari depan dan kemudian akan menjalani latihan praktikal selama tiga bulan.

Pihak JBPM sedia memberi kelonggaran buat Fazila dalam tempoh itu untuk pemain berkenaan menghadiri latihan bersama skuad negara.

"Dia akan diberi cuti selama seminggu dan selepas itu dia akan masuk semula untuk membuat latihan praktikal sama ada di Loke Yew, Putrajaya atau Bestari Jaya.

"Komandan memberitahu Fazila ditempatkan di Putrajaya supaya senang untuknya berulang-alik bagi menjalani latihan," katanya.

Fokus Dhaarma kini adalah untuk mempersiapkan pasukan menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April tahun depan.

Walaupun sudah menyenaraikan 26 pemain yang akan menyertai sesi latihan skuad kebangsaan, Dhaarma mengingatkan senarai mungkin berubah berdasarkan prestasi semasa pemain dalam Liga Hoki Malaysia.

"Pemain-pemain wanita ini mesti bersikap profesional di peringkat tempatan, ambil serius, sama juga dalam pasukan kebangsaan. Kalau mempamerkan prestasi buruk, mereka boleh digugurkan daripada pasukan," katanya.

Skuad kebangsaan akan mula melapor diri pada 3 Januari depan.