Pengurus skuad hoki wanita Indonesia, Deny Fahyuddin, menganggap aksi dalam saingan Piala Razak sebagai peluang terbaik buat barisan Indonesia mencongak persediaan terbaik menjelang Sukan Asia di Indonesia, tahun depan.

Beraksi selaku pasukan tuan rumah pada 2018, Indonesia sedang mencari ruang untuk mengkaji kekuatan yang dimiliki skuad Malaysia dan memandangkan keseluruhan pemain kebangsaan negara beraksi dalam kejohanan itu, kemunculan mereka selaku pasukan jemputan mahu digunakan sebaik-baiknya.

Justeru, separuh daripada skuad yang dibawa adalah pemain-pemain yang akan membarisi pasukannya pada tahun depan.

“Kami menyertai kejohanan ini kerana ingin mendapatkan pengalaman. Indonesia jarang menyertai sebarang pertandingan,” katanya.

Deny juga menegaskan Pahang tetap dianggap sebagai pilihan terbaik untuk terus mempertahankan kejuaraan berdasarkan kelebihan mereka yang dibarisi tujuh pemain kebangsaan.

Kapten skuad negara, Siti Noor Amarina Ruhani, dan pakar pukulan sudut penalti, Noraini Abdul Rashid, adalah antara tonggak utama yang menjadi kelebihan Pahang yang turut diundi bersama Indonesia dalam Kumpulan A.

“Kami sedar Pahang memiliki beberapa pemain Malaysia yang bagus dan kami telah berdepan dengan mereka sewaktu Sukan SEA 2017, jadi ia akan menyukarkan laluan Indonesia. Yang penting, kami mahu mendapatkan pengalaman,” ujarnya.