Pencapaian tangga ketiga dalam Trofi Juara-Juara Asia menjadi bekalan berharga buat tiga pemain yang diketuai bekas kapten skuad projek 2017, Mohd Najib Abu Hassan, yang akan meneruskan cabaran dalam Piala Sultan Johor, bermula hari ini.

Tugas masih belum selesai buat tiga pemain muda negara.

Pemain pertahanan, Najib, bersama Najmi Farizal Jazlan dan penyerang, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, diarah ke Johor untuk membantu kempen Malaysia.

Mereka mengakui kepenatan selepas mengharungi dua minggu cabaran di Kuantan, namun tetap komited demi tugas negara.

"Banyak pengalaman penting kami dapat kerana kami berdepan pesaing yang berpengalaman di samping beraksi bersama pemain senior," jelas Najib.

Sementara itu, Najmi dan Nik Mohd Aiman mengakui berasa sedikit keletihan, namun bertekad membawa ilmu yang dikutip dalam Trofi Juara-Juara Asia ke Johor pula.

"Ada sedikit rasa lesu tetapi pengalaman di sini akan saya terapkan dalam Piala Sultan Johor," ujar Farizal.

"Saya akan mengambil tanggungjawab selaku flicker di Johor nanti dan saya bertekad menggalas tugas itu dengan baik," kata Aiman.

Pengalaman bersaing dengan pemain senior pastinya mampu menjadi senjata skuad kendalian Wallace Tan dalam mencapai sasaran mara ke final Piala Sultan Johor.