Ketika penularan wabak Covid-19 semakin berleluasa, skuad hoki negara pula mendapat sinar daripada situasi tersebut apabila berpeluang untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia selepas Malaysia menjadi pasukan simpanan pertama zon Asia dalam senarai mengisi slot, jika ada pasukan yang bakal menarik diri daripada Sukan Olimpik ekoran wabak covid-19.

Menurut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, situasi itu meletakkan skuad hoki negara perlu berada dalam keadaan selalu bersiap siaga dan berlatih seolah-olah mereka telah layak ke Tokyo.

Terdahulu, The Malaysian Hockey Tigers gagal layak secara merit ke Sukan Olimpik 2020 selepas gagal menjuarai saingan Sukan Asia 2018 lalu.

"Kami perlu berlatih seperti melayakkan diri ke Sukan Olimpik kerana Malaysia adalah pasukan simpanan pertama bagi Zon Asia," kata Subahan.

Sementara itu, Subahan menjelaskan tiada perubahan untuk indeks prestasi utama (KPI) pengendali hoki negara, Roelant Oltmans, biarpun Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2020 ditunda ke 24 September ini.

"Sukar untuk membuat jangkaan ketika penularan covid-19 yang memaksa beberapa kejohanan terpaksa ditangguh, namun kami meletakkan sasaran untuk memperbaiki pencapaian dalam saingan PSAS kali ini."