Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) antara persatuan sukan yang terpaksa merangka semula jadual liga, program latihan dan kejohanan antarabangsa, termasuk yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan susulan penularan wabak Covid-19.

Selain terpaksa membatalkan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa, badan induk itu juga terpaksa merangka semula jadual perlawanan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM).

"Ia (LHRM) masih boleh diteruskan tetapi tanpa penonton," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

"KHM juga akan berbincang dengan ahli jawatankuasa kami, termasuk jawatankuasa kejohanan dan kami akan mengeluarkan keputusan dalam masa terdekat.

"Insya-Allah, kita akan mengetahui keputusannya esok, sama ada kami akan menghentikan liga atau sebaliknya," katanya.