Covid-19: KHM janji selesaikan isu elaun jurulatih sambilan NHDP

Oleh Shaiful Shamsudin 5 April 2020 82
 Covid-19: KHM janji selesaikan isu elaun jurulatih sambilan NHDP
Lanjutan isu kelewatan pembayaran elaun jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), kini ada pula isu sama dikaitkan dengan elaun jurulatih sambilan yang membabitkan Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP).

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menjelaskan pembayaran elaun jurulatih separuh masa yang berkhidmat dalam program itu adalah berdasarkan laporan aktiviti bulanan yang dihantar kepada badan induk itu.



Seandainya berlaku kelewatan, ia adalah disebabkan dokumen yang tidak lengkap ditambah pula negara kini berada dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang merencatkan proses pembayaran.

Subahan berjanji segalanya akan diselesaikan, khususnya pembayaran kepada semua jurulatih terbabit bagi Oktober dan November 2019 sebaik sahaja keadaan negara kembali pulih. 

"Saya hairan dan terkejut mengapa isu ini tiba-tiba timbul.

"Proses pembayaran elaun jurulatih sambilan adalah di bawah projek NHDP.

"Bahagian perakaunan KHM akan menyemak butiran terperinci bulanan dan selepas ia lengkap, kami akan bertanggungjawab untuk membuat pembayaran. 

"Untuk kes November dan Disember (tidak dibayar) adalah betul berikutan proses pilihan raya KHM selain pertukaran menteri belia dan sukan.

"Kami memang ingin membuat pembayaran tetapi PKP pula diadakan yang mengekang kami ke Pejabat KHM di Stadium Nasional, Bukit Jalil," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

Subahan turut menafikan Majlis Sukan Negara (MSN) menjadi punca kelewatan pembayaran kepada barisan jurulatih memandangkan MSN telah pun menyerahkan segala peruntukan tahun lalu kepada KHM untuk menguruskan program NHDP.

"Ini isu dalaman KHM, apatah lagi MSN telah membantu kami sebaik-sebaiknya. 

"Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, telah mengambil langkah untuk membantu kami bagi menyelesaikan masalah ini. 

"Isu pembayaran ini tiada kena mengena langsung dengan MSN."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen