Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) melantik bekas penolong jurulatih negara, Lim Chiow Chuan, sebagai pengendali baru dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) dan merampas Piala TNB, bermula 6 Januari depan.

Susulan perkhabaran itu, keyakinan pemain KLHC meningkat kerana Chiow Chuan akan menggantikan posisi yang dikosongkan Mohd Harun Al-Rashid yang diamanahkan kelab gergasi itu musim lalu.

Kehadiran Chiow Chuan di KLHC bakal memperkuatkan juara liga enam kali itu untuk mencabar Terengganu Hockey Team (THT) yang sedang memancing pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat dari Argentina.

"Pelantikannya sedikit-sebanyak akan membantu kami dalam cabaran LHM pada musim depan.

"Tahun lepas, kami berjaya menjulang Piala Sumbangsih dan menjuarai liga. Jadi, untuk musim baru nanti, kami mahu mendapatkan ketiga-tiga piala," kata pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor.

Turut senada dengan pemain itu adalah Joel Samuel Van Huizen yang berkata: "Bersama Chiow Chuan, kami mencapai banyak kejayaan di peringkat kebangsaan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini."

Setakat ini, lapan pasukan dijangka beraksi selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menarik diri daripada saingan Liga Perdana.