Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) mencetus kejutan apabila mencalonkan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, 16 November ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Dr. S. Shamala membuat pusingan 'U' apabila mengesahkan akan bertanding dalam AGM badan induk itu, sekali gus bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan mereka sebelum ini.

Ia disebabkan mereka menerima sokongan kuat daripada ahli gabungan yang mencalonkan mereka mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan tersebut.

Difahamkan, Persatuan Hoki Selangor (SHA) mencalonkan Tengku Hassanal Ibrahim untuk jawatan naib presiden tetapi KLHA pula memilih untuk mencalonkannya bagi kerusi presiden KHM.

"Kami secara protokol telah menghantar surat ke pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) di Pekan, Pahang serta ke Istana Negara. Saya rasa apabila kami mencalonkan pemangku Sultan Pahang ini, baginda tidak perlu disamakan dengan pencabar yang lain," kata Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Megat Shahriman juga menjelaskan sedia melepaskan beberapa jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan yang lain seandainya tugas dalam KHM terlalu berat untuk dipikul.

"Saya akan lepaskan dua atau tiga persatuan. Memang tidak boleh buat, tak menang tangan. Jika jadi keperluan, saya akan lepaskan. Itu janji dan insya-Allah, saya tidak akan lakukan pusingan U."