Bekas pemain hoki negara, Iman Gobinathan Abdullah, menyokong pelan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Roelant Oltmans, untuk mencari lebih ramai pemain muda menjelang Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, bermula tahun depan.

Oltmans dikritik hebat kerana gagal menghadirkan keputusan segera seperti yang diharapkan peminat dalam Piala Dunia di Bhubaneswar, India.

Realitinya, beliau baru dua bulan mengendalikan skuad negara, namun berjaya meraih tangga ketiga Trofi Juara-Juara Asia, bulan lalu, sebelum terkandas dalam saingan peringkat kumpulan dalam Piala Dunia kelmarin.

Bagaimanapun, bekas pemain negara itu mempunyai pandangan berbeza.

"Roelant merupakan seorang jurulatih yang bagus, namun dia memerlukan masa untuk membentuk skuad yang mantap.

"Saya yakin dalam tempoh tiga ke empat tahun lagi, keputusan itu pasti akan tiba," kata bekas pertahanan negara, Iman.

"Pasukan-pasukan lain dalam Piala Dunia mempunyai pemilihan pemain yang besar.

"Skuad negara jelas keletihan kerana melalui jadual pertandingan padat sepanjang tahun ini.

"Malaysia perlu memperbesarkan skuad kebangsaan agar mempunyai lebih banyak pilihan pemain," kata bekas penyerang negara, S. Kuhan.