Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, boleh menarik nafas lega apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berpuas hati dengan kesemua pengendali tempatan meskipun gagal membawa The Malaysian Hockey Tigress ke Piala Dunia 2018.

Kontrak jurulatih adalah antara topik Mesyuarat Majlis KHM, esok.

Skuad wanita negara gagal ke Piala Dunia 2018 selepas tewas 2-0 kepada Jepun dalam suku akhir Piala Asia di Kakamigahara, Jepun.

Ini bermakna Malaysia gagal mencapai sasaran ke separuh akhir apabila hanya layak ke penentuan tempat kelima hingga lapan.

Ia turut mengundang persoalan mengenai masa depan Dhaarma dan barisan kejurulatihan.

"Setakat ini, kami berpuas hati dengan skuad hoki wanita yang mencapai banyak kejayaan.

"Mereka akan menilai semula prestasi dan ia kelihatan positif.

"Ahli jawatankuasa kejurulatihan akan bersidang serta akan mengemukakan pelan yang baik untuk masa depan barisan kejurulatihan kita," kata Naib Presiden Kanan KHM, Profesor S. Shamala.

Kali terakhir skuad wanita mara ke separuh akhir Piala Asia ialah pada 1985.

Begitupun, mereka wajar mendapat pujian apabila layak ke separuh akhir Liga Dunia di Belgium, Julai lalu, untuk melakar sejarah dalam arena hoki Malaysia.