Paul Revington mempunyai tiga sebab untuk kembali ke Malaysia selepas enam tahun.

Pengarah teknikal pembangunan hoki negara itu sanggup meninggalkan keluarga di London, England, untuk berkongsi kepakaran mencungkil pemain berpotensi di peringkat akar umbi.

"Saya meninggalkan Malaysia pada 2014 atas pelbagai sebab dan salah satu daripadanya adalah keinginan untuk pulang (ke London) sambil meluangkan masa bersama anak kembar saya.

"Sebab kedua adalah berkaitan kesihatan dan dalam sidang media peletakan jawatan saya ketika itu, saya sedang berdepan masalah kesihatan yang serius berkaitan barah otak yang sudah dideritai selama 6-8 tahun.

"Ramai pakar memberi pandangan masalah kesihatan ini berpunca dengan tekanan. Ketika bangun tidur, kepala saya akan terasa amat sakit dalam tempoh setengah atau lebih sejam setiap pagi. Saya juga menghadapi gejala-gejala selepas pembedahan, barah yang dikeluarkan itu sebesar buah oren," katanya ketika diwawancara wartawan, Bazly Azmi, di Bukit Jalil hari ini.

Sesi latihan pusat skuad Projek Khas Lelaki kendalian Ketua Jurulatih, Wallace Tan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. #MalaysianHockey #MyHockey

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Tuesday, October 6, 2020


Selepas membantu The Malaysian Hockey Tigers menamatkan penantian selama 12 tahun ke Piala Dunia akhirnya terlaksana pada 2014, Revington meninggalkan kem kebangsaan sebelum menjalani pembedahan setahun berikutnya.

Dia berehat selama dua tahun sebelum menggalas peranan sebagai ketua jurulatih Program Pembangunan Pasukan Elit Wanita Great Britain.

Begitupun, kemeriahan arena hoki Malaysia terus menggamit kerinduannya dan khidmatnya pantas disambar Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam.

"Saya boleh bercakap panjang lebar tentang perkara ini. Saya jatuh cinta kepada Malaysia khususnya sejak 1996 kerana saya terpesona dengan corak permainan Malaysia ketika menentang Afrika Selatan dalam Sukan Olimpik, kemudian saya berpeluang ke mari lagi dalam Piala Dunia 2002 dan kagum dengan lautan penyokong Malaysia, keriuhannya macam perlawanan bola sepak,"

"Ia membuka hati saya untuk ke mari melatih pasukan.

"Saya meninggalkan pasukan ini lebih awal pada 2014 atas sebab yang tidak diduga.

"Jadi ada urusan yang belum selesai, saya sayangkan hoki di sini," katanya.