Bekas pertahanan hoki negara, Baljit Singh, mempunyai misi tertangguh sejurus dilantik sebagai penolong jurulatih hoki remaja lelaki kebangsaan.

Dia menanam impian untuk melunaskan impian peribadinya selepas gagal menyertai Kejohanan Piala Dunia dan paling ulung, Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Nama pemenang pingat perak Sukan Asia 2010 itu sering keciciran dalam perebutan posisi di bahagian pertahanan di sebalik sudah memenangi kesemua gelaran domestik dalam kancah liga, tetapi di peringkat antarabangsa, Baljit tidak mempunyai sesuatu untuk dikenangkan.

Paling menyayat hati, atlet kelahiran Ipoh, Perak, itu mengumumkan persaraan pada 2017 di kala dia berasakan dirinya masih mampu memberikan sumbangan buat negara dan setahun selepas itu, skuad kebangsaan melayakkan diri ke saingan Piala Dunia di Bhubaneswar, India.

"Saya mengesyorkan kepada semua pemain muda agar pastikan memiliki impian untuk bermain dalam Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

"Mereka perlu bekerja keras menuruti arahan jurulatih, baik secara taktikal dan fizikal," katanya.

Bersama skuad remaja yang diangkat sebagai "Projek 2026", yang diletakkan sasaran memenangi emas Sukan Asia Nagoya 2026 sebagai kelayakan Sukan Olimpik, Baljit bakal menjalinkan kerjasama dengan ketua jurulatih hoki remaja, Wallace Tan, dan Megat Azrafiq Tarmizi demi mencapai aspirasi itu.

"Ramai pemain luar beraksi dalam kancah di Malaysia.

"Mereka sangat kagum dengan kemampuan menggelecek dan kepantasan pemain tempatan tetapi mereka tertanya-tanya.

"Kami sepatutnya gunakan kelebihan yang ada pada waktu sesuai.

"Adakalanya apabila pemain tempatan terlalu teruja, mereka cenderung melarikan bola tanpa arah tuju tetapi berlainan pula dengan pemain Eropah, mereka akan tunjukkan kemahiran pada masa yang perlu sahaja," katanya.

Biarpun kini sudah memegang jawatan di tepi padang, dia turut menjelaskan akan tetap mengerahkan kudrat sebagai pemain dalam kancah Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan bersama pasukan UniKL.