Azlan sokong KHM rombak struktur kejurulatihan skuad negara

Oleh Staff Writer 12 Julai 2020 88
Azlan sokong KHM rombak struktur kejurulatihan skuad negara
Bekas kapten hoki negara, Azlan Misron, menyokong langkah Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk merombak struktur kejurulatihan skuad kebangsaan.

Ia membabitkan beberapa individu termasuk ketua jurulatih, Roelant Oltmans, yang akan tamat kontrak 31 Disember ini.

KHM menetapkan sasaran juara buat skuad kendalian Oltmans dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT), di Dhaka, Bangladesh, November ini.

Ia merupakan sasaran yang tinggi -- berdasarkan rekod, Malaysia telah meraih tangga ketiga sebanyak lima kali sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2011.

Tindakan tersebut dilihat memberikan tekanan kepada Oltmans yang setakat ini gagal mencapai sasaran dalam empat kejohanan yang disertai sejak 2018.



KHM sudah melaburkan jutaan ringgit dan mahu keputusan terbaik daripada pasukan bimbingan Oltmans.

"KHM telah membuat keputusan yang baik untuk pasukan kerana mereka perlu menetapkan satu objektif yang baru selepas gagal ke Olimpik Tokyo" kata Azlan ketika ditemu bual oleh wartawan Nadi Arena, Alice Harun. 

Azlan turut berpendapat tentang pelan rombakan KHM adalah bertepatan kerana The Malaysian Hockey Tigers masih belum meraih sebarang kejuaraan sejak Oltmans menggantikan tempat Stephen Van Huizen.

"Semenjak Oltmans mengendali skuad negara, tiada kejohanan besar yang boleh diukur daripada segi kejayaan pasukan dan tidak banyak yang membantu daripada segi persembahan dan prestasi pasukan ketika menghadapi persediaan Olimpik tempoh hari.

"Sudah pasti Oltmans akan melakukan yang terbaik dalam ACT untuk memastikan kedudukannya selamat," tambahnya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen