Bekas kapten hoki negara, Azlan Misron, menyifatkan ketua jurulatih baru kebangsaan, Roelant Oltmans, sebagai individu paling sesuai untuk menerapkan corak permainan Eropah bagi memburu tiket kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pelantikan Oltmans dilihat tepat pada masanya tatkala skuad negara ketika ini memerlukan suntikan baru untuk bangkit daripada kegagalan terlepas tiket awal ke Olimpik Tokyo setelah gagal meraih pingat emas dalam Sukan Asia 2018.

Apa yang lebih penting, pengendali kelahiran Belanda itu arif mengenai corak hoki Asia dan Eropah.

"Mereka percaya bahawa Oltmans adalah pilihan terbaik ketika ini dan mampu melakukan perubahan dalam menerapkan corak permainan Eropah dalam skuad negara.

"Saya yakin dan pasti Malaysia mampu bersaing dengan pasukan-pasukan hebat serta layak ke Sukan Olimpik," katanya.

Azlan bersara pada 2015 dan masih memegang rekod pemain paling banyak mewakili Malaysia dengan 349 penampilan.

Beberapa rakan seangkatan seperti penjaga gol, S. Kumar, ketua pasukan, Sukri Mutalib, pertahanan, Muhammad Razie Rahim, serta penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, juga sudah berada di penghujung karier.

Malah, tidak mustahil ada yang akan bersara jika Malaysia gagal melepasi kempen kelayakan Olimpik Tokyo.

"Itu tidak mustahil.

"Apa yang dimiliki oleh barisan pemain dan jurulatih membuatkan saya yakin 100 peratus bahawa mereka mampu tampil lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.