Arul tidak tolak rombak skuad hoki

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Ogos 2020 284
Arul tidak tolak rombak skuad hoki
Skuad The Malaysian Hockey Tigers berdepan rombakan sebaik ketua jurulatih baru, Arul Selvaraj, selesai meneliti semula barisan pemain yang ada dalam kem kebangsaan ketika ini selepas Piala Razak, bulan depan.

Selain itu, bekas pengendali UniKL itu juga akan bersemuka dengan bekas pemain yang digugurkan pengendali terdahulu, Roelant Oltmans.

"Saya di sini untuk pemain. Di padang saya adalah jurulatih mereka tetapi di luar, saya mahu menjadi sahabat mereka. 

"Mereka boleh berterus terang bagi memberi ruang kepada saya untuk memahami mereka dengan lebih baik. 

"Saya sedia mengambil dan menggugurkan pemain. Prestasi mereka akan dinilai dalam Piala Razak.

"Saya akan berjumpa beberapa pemain lagi bagi melihat perkembangan situasi kecederaan mereka dan saya mendapat pandangan ISN (Institut Sukan Negara).

"Saya akan buat keputusan untuk menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan sempat cergas bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT), di Bangladesh yang ditunda ke 11-19 Mac tahun depan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

Dalam satu sidang media hari ini, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan Arul, yang baru pulang dari Dublin, Ireland, bakal memulakan sesi latihan hari pertama esok selepas tamat menjalani tempoh kuarantin wajib. 

Ini bermakna, kem kebangsaan berkemungkinan bakal mempunyai muka baru dan barisan pemain yang dipanggil oleh Oltmans awal tahun lalu perlu membuktikan kebolehan masing-masing bagi memikat hati Arul.

Tambahnya, prestasi atas padang tidak menjadi kebimbangannya, sebaliknya dia lebih mementingkan hubungan baik bersama pemain sebagai langkah awal mengambil alih tugasan bekas jururulatih dari Belanda itu. 

"Pastinya ada sebab-sebab tertentu pemain digugurkan.

"Saya balik tanpa maklumat baru jadi saya mendapat pertolongan daripada barisan kejurulatihan untuk melihat mengapa pemain-pemain yang masih mempunyai kualiti ini digugurkan. 

"Saya pasti akan berikan mereka peluang. Saya perlu bersemuka dengan mereka. 

"Saya tidak akan panggil pemain tanpa mengetahui keinginan mereka."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen