Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, akan membawa masuk sekurang-kurangnya tiga muka baru yang mempamerkan potensi dalam Kejohanan Piala Tun Abdul Razak minggu lalu menjelang pengumuman barisan pemain skuad kebangsaan Khamis ini.

Turut dikaitkan adalah kepulangan semula gandingan adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari, selepas digugurkan daripada skuad kebangsaan tujuh bulan lalu.

Dalam satu tembual khas bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, jurulatih itu berkata: "Lebih kurang akan ada tiga atau empat orang muka baru yang masih belum pernah diketengahkan dalam latihan peringkat kebangsaan sebelum ini.

"Saya rasa ingin memberi peluang kepada pemain-pemain seperti itu berdasarkan perwatakan mereka di atas padang.

"Mungkin mereka ada kekurangan daripada segi teknikal dan kemahiran hoki tetapi semangat dan etika kerja di atas padang mereka menarik perhatian saya.

"Apapun kita perlu tunggu pengumuman saya pada Khamis ini untuk mengetahui siapa pemain berkenaan.

"Etika kerja mereka merupakan sesuatu yang kurang ada dalam skuad kebangsaan.

"Ia seperti semangat untuk pergi berperang dan dua tiga pemain ini mempunyai semangat seperti itu.

"Saya mahu semangat itu tersebar kepada pemain lain yang mempunyai kualiti teknikal yang lebih baik," katanya.

Mengenai Faizal dan Fitri, Arul menjelaskan dia ada berjumpa dengan beberapa bekas pemain kebangsaan untuk memanggil mereka kembali memperkuatkan skuad The Malaysian Hockey Tigers itu.

"Ada segelintir (bekas pemain kebangsaan) dan saya sendiri sudah berjumpa dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman -- sama ada mereka berminat untuk kembali berada dalam latihan skuad kebangsaan atau tidak.

"Apabila saya dapat rasakan mereka berkeinginan, saya akan memikirkan mengenai mereka.

"Saya ada makan tengah hari bersamanya (Faizal) dan saya dapat lihat keinginannya untuk kembali beraksi dan saya juga dapat melihat komennya bahawa dia bersedia memberikan 100 peratus dalam latihan.

"Setakat ini, daripada segi prestasi dan perwatakannya di atas padang memang memuaskan," tambahnya.