Arul ambil langkah berani gugur Fitri Saari

Oleh Muzaffar Musa 31 Oktober 2020 1702
Arul ambil langkah berani gugur Fitri Saari
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, mengambil keputusan berani dengan menggugurkan perancang utama, Fitri Saari, daripada senarai 30 pemain pilihannya.

Fitri, yang  memainkan peranan penting ketika Malaysia layak ke Piala Dunia 2014 dan 2018, didakwa tidak cukup tangkas untuk meneruskan cabaran dalam skuad kebangsaan.

Pemain tengah itu, yang membantu Terengganu muncul naib juara Piala Tun Abdul Razak bulan lalu, pernah mengalami masalah berat badan, namun berjaya menangani masalah itu sepanjang berada dalam kem latihan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, proses pemilihan kali ini turut membabitkan aspek di luar padang seperti daya kepimpinan dan pengaruh seseorang pemain dalam skuad The Malaysian Hockey Tigers itu.

"Prestasinya masih belum dapat memikat hati saya," kata Arul dalam sidang media skuad kebangsaan hari ini.

"Buat masa ini, dia tidak dapat meyakinkan saya mengenai kemampuannya untuk kembali beraksi, jadi saya fikir buat masa ini dia tiada dalam perancangan saya.

"Melainkan dia dapat menunjukkan sesuatu dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) yang akan datang, iaitu ketangkasan, usaha dan perwatakannya untuk kembali beraksi, dan selepas itu pasti saya akan memikirkan mengenainya," katanya.

Dalam pada itu, Fitri dalam respons segeranya berkata kepada Astro Arena: "Saya menerimanya walaupun dengan hati yang sedih. Saya menerima alasan yang diberikan jurulatih Arul.

"Saya berjumpa hampir sejam dengannya dan saya perlu bekerja lebih keras di atas dan di luar padang dan menujukkan sikap yang baik kepada semua pemain."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen