Skuad pembangunan hoki negara menamatkan kempen Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India, di kedudukan ke-11 selepas menewaskan Austria dalam perlawanan penentuan tempat ke-11 dan 12.

Kemenangan menjadi matlamat utama skuad negara yang dikendalikan Wallace Tan selepas gagal mencapai sasaran mara ke suku akhir.

Permulaan garang menyaksikan Zulhamizan Mohamad meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-8.

Malaysia terus memberi tekanan apabila meledak gol padang menerusi Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, lima minit kemudian bagi meletakkan skuad negara di kedudukan selesa.

Austria bagaimanapun mula memberi tentangan dan hasilnya pada m-26, Oilver Binder merapatkan jurang hasil pukulan sudut penalti.

Bersambung babak kedua, Austria terus memberi tekanan kepada Malaysia sehingga membenarkan Peter Kaltenbock mengikat kedudukan 2-2 pada m-42.

Tiada tambahan jaringan pada baki babak kedua untuk mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti selepas asakan bertali arus Austria gagal menembusi pintu gol Malaysia.

Penjaga gol, Muhamad Zaimi Mat Deris, menjadi wira negara untuk menafikan kemenangan Austria biarpun Amirul Aideed Arshad dan Norsyafiq Sumantri sebagai pemukul kedua dan ketiga gagal menyempurnakan tugas mereka, namun kecemerlangannya di depan gawang menoktahkan kemenangan buat negara menerusi keputusan 2-1.