Anak buah Dhaarma uji kekuatan lawan di Korea

Oleh Penulis Jemputan 4 Disember 2017 125
Anak buah Dhaarma uji kekuatan lawan di Korea
Skuad hoki wanita negara kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berpeluang menguji kekuatan lawan menjelang Sukan Asia Indonesia 2018 menerusi saingan Trofi Juara-Juara Asia di Donghae City, Korea Selatan yang melengkapkan jadual padat, tahun depan.

Sukan Asia penting buat semua pasukan benua ini apabila menawarkan satu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Justeru, Trofi Juara-Juara Asia, Mei tahun depan, akan menjadi platform terbaik untuk menilai kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi kejohanan utama.

Malah, Trofi Juara-Juara Asia turut menjadi peluang untuk mengejar kedudukan ranking dunia apabila Malaysia berada dalam kedudukan kelima terbaik Asia ketika ini.

“Ia adalah perlawanan persediaan buat kami untuk menghadapi cabaran sengit berdepan gergasi Asia di Jakarta-Palembang 2018 nanti,” kata Dhaarma.

“Kejohanan ini akan diambil sebagai pemanas badan untuk menghadapi Sukan Asia. Ia juga dilihat sebagai penanda aras sebelum kami menyertai kejohanan tersebut,” kata kapten hoki negara, Siti Noor Amarina Ruhani.

Malaysia ketika ini menghuni ranking ke-22 dunia manakala China muncul pasukan terbaik Asia di ranking kelapan, Korea Selatan (9), India (10) sementara Jepun (12).

Pencapaian terbaik skuad wanita negara ialah tangga ketiga Trofi Juara-Juara Asia di Kakamigahara, Jepun pada 2013.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen