Pertahanan hoki negara, Muhammad Amirul Aideed Md Arshad, terpaksa melupakan Piala Razak, bermula 18 September depan yang juga proses pemilihan semula skuad kebangsaan.

Ia susulan kecederaan lutut yang memaksanya berehat sekurang-kurangnya dua bulan.

Adakah Amirul akan dapat pengecualian?

Amirul mengalami kecederaan lutut ketika berlatih, minggu lalu, dia pernah beberapa kali mengalami kecederaan termasuk ditimpa kemalangan jalanraya, tahun lalu.

Namun kecederaan lutut kali ini berlaku begitu hampir dengan proses pemilihan semula skuad kebangsaan.

"Saya agak sedih kerana jurulatih (Arul Selvaraj) mahu menyaksikan prestasi kami dalam saingan tersebut. Jadi saya tidak tahu apa keputusan mengenai saya kerana tidak dapat beraksi," kata Amirul.

"Terdapat pertukaran yang telah dilakukan dan kami tidak tahu apa yang dimahukan dilihat oleh jurulatih. Ia merupakan pendekatan baru dan setiap pemain harus mengikut perancangan yang baru."

"Buat masa ini, saya masih tidak boleh berlari dan mungkin akan kembali pulih sepenuhnya dua bulan lagi."

Skuad negara tidak mempunyai kejohanan tahun ini ekoran penundaan Piala Sultan Azlan Shah dan
Trofi Juara-Juara Asia ke tahun depan.