Bekas jurulatih skuad hoki dalam dewan negara, Mohd Amin Rahim, diminta berkongsi ilmu sebagai pakar pukulan sudut penalti apabila dipinjamkan kepada skuad kebangsaan menjelang Piala Asia di Dhaka, Bangladesh bermula 11 Oktober ini.

Amin adalah antara pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia ketika zaman kemuncaknya pada era 90-an.

Beliau kemudian bertindak sebagai jurulatih remaja negara sebelum membimbing skuad dalam dewan meraih pingat emas Sukan SEA, Ogos lalu.

Selepas tamat Sukan SEA, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meminta bekas pemain pertahanan ini membantu ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen mempersiapkan pasukan ke Dhaka.

“Kami memiliki beberapa pakar sudut penalti yang berkualiti dalam skuad Malaysia kali. Saya akan memantau dan menilai setiap kelemahan yang boleh diperbaiki sebelum menghadapi saingan di Dhaka,” kata Amin.

Van Huizen dijangka mengumumkan skuad ke Dhaka, Selasa ini dengan empat pemain masih mengalami kecederaan.

Mereka ialah kapten, Mohd Sukri Mutalib, Izad Hakimi Jamaluddin (pertahanan), Meor Azuan Hassan (tengah) dan Firhan Ashaari (penyerang).

“Kami akan tetap menyenaraikan mereka jika mereka diperlukan beraksi untuk negara,” kata Van Huizen.

“Saya berharap dapat pulih dengan kadar segera untuk kembali berlatih. Tetapi masih tiada kepastian sama ada dapat beraksi di Dhaka ataupun tidak,” kata Firhan.