Bekas pemain hoki kebangsaan, Mohd Amin Rahim, yang dilantik sebagai penolong jurulatih skuad hoki negara mahu menjadikan latihan dalam pukulan sudut penalti sebagai fokus utama agar The Malaysian Hockey Tigers kembali digeruni selaku pasukan terbaik dalam aspek tersebut.

Amin sememangnya dikenali sebagai antara pakar pukulan sudut penalti terbaik negara ketika zamannya bergelar pemain.

Justeru, pelantikannya selaku penolong kepada jurulatih negara, Stephen Van Huizen, pasti ditagih skuad kebangsaan, terutama bagi memperbaiki ketajaman pasukan hoki negara dalam situasi pukulan sudut penalti.

Amin juga menjelaskan dia sudah mengenal pasti beberapa aspek yang mahu diperbaiki bagi menghadapi tiga kejohanan besar pada 2018, iaitu Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Dunia.

“Kebelakangan ini, saya nampak kita agak lemah daripada segi “direct trick”, bukan disebabkan kesilapan flicker tetapi mungkin latihan intensif diperlukan.

“Tahun depan kita menghadapi banyak kejohanan besar, jadi saya rasa aspek pukulan sudut penalti perlu dipertingkatkan,” katanya.

Mengenai pemberian kontrak, Amin yang sudah memulakan tugasnya hari ini tidak mahu terburu-buru dalam soal itu, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk mencari masa yang sesuai.

“Secara rasmi, saya masih belum menerima sebarang surat daripada pihak KHM walaupun kita sedia maklum bahawa saya telah dilantik sebagai jurulatih.

“Saya masih menunggu dan tempoh pelantikan itu akan diketahui sebaik sahaja saya menerima surat tawaran. Segala-galanya terpulang kepada pihak KHM," ujarnya.