Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah, sah akan bertanding jawatan timbalan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu 16 November ini.

Tengku Hassanal Ibrahim menerima pencalonan dari Johor dan Selangor untuk bertanding jawatan kedua tertinggi dalam KHM itu.

Baginda turut menyokong Datuk Seri Subahan Kamal untuk kekal sebagai presiden bagi penggal kedua berturut-turut.

Pendekatan itu meletakkan Tengku Hassanal Ibrahim sebagai calon pilihan untuk memegang jawatan timbalan presiden, yang turut menyaksikan pencalonan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.

"Saya akan bertanding jawatan timbalan presiden KHM kerana Tuanku Agong dahulu (aktif) dalam hoki, jadi saya mahu meneruskan legasi ayahanda saya dalam hoki Malaysia," katanya.

Sebagai rekod,Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah, pernah menjadi presiden KHM dari 2007 hingga 2015.

Kehadiran Tengku Hassanal Ibrahim dijangka akan memperkemaskan aspek pengurusan KHM yang diberikan taraf lima bintang oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS), Mac lalu.