Bekas penyerang skuad hoki negara, Rodzhanizam Mat Radzi, sedia berkongsi pengalaman selama lebih 11 tahun mewakili skuad kebangsaan jika terpilih sebagai naib presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu Sabtu ini.

Sebagai calon tunggal daripada kalangan bekas pemain negara, beliau mempunyai sesuatu untuk disampaikan seandainya memenangi jawatan itu.

"Sebagai bekas pemain, saya tahu apa yang diperlukan pemain negara.

"Contohnya, saya pernah bermain di peringkat antarabangsa seperti Piala Asia, Sukan Komanwel dan Piala Dunia, jadi saya tahu apa yang diperlukan oleh pemain kebangsaan," katanya.

Tambahnya, terdapat kekurangan dalam KHM sepanjang empat tahun ini kerana tiada wakil daripada kalangan bekas pemain negara dalam badan induk itu.

"Sebelum ini, mungkin kita dapat lihat naib presiden yang lain mempunyai sumber kewangan yang baik.

"Tetapi sebagai bekas pemain kebangsaan, kami perlu berada dalam KHM kerana dengan pengalaman sebagai pemain dan jurulatih, kami lebih mengenali sukan hoki itu sendiri.

"Contohnya, ketua jurulatih skuad wanita, Muhammad Dhaarma Raj (Abdullah), menghantar pemain-pemain wanita ke liga di Eropah.

"Dalam dua atau tiga tahun lagi, pemain ini akan menjadi lebih bagus," tambahnya.