AGM KHM: KHA keluarkan hanya satu borang rasmi -- presiden

Oleh Bernama 10 November 2019 47
AGM KHM: KHA keluarkan hanya satu borang rasmi -- presiden
Presiden Persatuan Hoki Kedah (KHA), Mohd Asmirul Anuar, berkata hanya satu borang pencalonan untuk pemilihan ahli jawatankuasa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dikeluarkan secara rasmi oleh persatuan itu.

Berikutan kontroversi mengenai dua borang pencalonan daripada KHA, Mohd Asmirul menegaskan bahawa beliau tidak pernah menurunkan kuasa kepada mana-mana pihak untuk mewakilinya dalam urusan surat-menyurat persatuan.

Menerusi surat yang dihantar kepada KHM dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Malaysia hari ini, Mohd Asmirul menzahirkan rasa dukacita dengan tuduhan palsu yang dilemparkan kepada pihaknya selepas KHM memaklumkan senarai calon yang layak bertanding dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) KHM, Sabtu ini.

"Saya bagi pihak KHA mengesahkan sekali lagi bahawa hanya satu borang pencalonan adalah sah, iaitu yang dihantar pada 24 Oktober. Selepas pihak KHM memohon pengesahan daripada kami pada 4 November, barulah saya mengetahui terdapat penghantaran borang lain yang palsu pada 1 November.

"Saya tidak pernah menurunkan kuasa atau memberi kebenaran kepada mana-mana ahli jawatankuasa saya untuk mewakili KHA dalam urusan surat-menyurat ataupun pengeluaran kenyataan media.

"Ini amat salah daripada segi perwakilan sesebuah organisasi, saya akan memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada semua pihak yang telah memburukkan nama KHA serta negeri Kedah secara keseluruhan," menurut surat itu. 

Dalam sidang media pagi ini, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan KHM, Jadadish Chandra Bipin Chandra, berkata pihaknya menerima dua borang pencalonan, iaitu yang pertama ditandatangani oleh Mohd Asmirul (24 Oktober) yang mencalonkan Datuk Seri Subahan Kamal untuk jawatan presiden dan Prof Datuk Dr S Shamala bagi jawatan timbalan presiden wanita.

Borang kedua pula diterima pada 1 November yang ditandatangani oleh setiausahanya, Sandra Gesan, yang mencadangkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun, untuk jawatan presiden dan K. Maheswari untuk timbalan presiden wanita.

Kamarudin gagal mencabar penyandang, Subahan, bagi jawatan nombor satu kerana kurang satu pencalonan daripada minimum tiga pencalonan untuk bertanding bagi jawatan presiden, sekali gus Subahan yang menerima 13 pencalonan mengekalkan jawatannya dengan menang tanpa bertanding.

Terkini, KHM menerusi kenyataan di laman sesawang rasminya memaklumkan bahawa Jadadish telah mengemukakan surat tuntutan ke atas sebuah akhbar tempatan kerana menerbitkan artikel yang tidak benar kelmarin, bertajuk “Tangan Ghaib Padam Dua Nama.”

Surat tuntutan juga dikeluarkan kepada wartawan yang menulis artikel itu dan Timbalan Presiden KHA, S Satish Kumar, yang memberikan komen di dalam artikel yang sama kerana membuat pertuduhan bahawa wujudnya "tangan ghaib" telah menukar borang pencalonan itu.

Dalam pada itu, Subahan turut kesal dengan terbitan artikel berkenaan kerana menggunakan nama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, yang dikatakan salah seorang mangsa apabila namanya ditukar dalam pencalonan pemilihan ahli jawatankuasa KHM bagi penggal 2019-2023.

"Saya begitu kesal dan terkilan kerana ada pihak tidak bertanggungjawab turut menggunakan nama Tengku Hassanal kerana kami dalam KHM memberikan sokongan sepenuhnya kepada Tengku Hassanal untuk menyertai keluarga KHM sebagai timbalan presiden."

-- BERNAMA 

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen