Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Prof Datuk Dr S. Shamala, menafikan penarikan diri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, daripada bertanding dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu sebagai tanda protes.

KHM mengumumkan empat calon menarik diri menjelang AGM, Sabtu depan.

Paling mencuri tumpuan ialah ketiadaan Tengku Hassanal yang dianggap calon pilihan jawatan timbalan presiden selepas mendapat 14 pencalonan.

Namun, KHM mendedahkan baginda tidak mengemukakan sebarang alasan mengenai tindakan itu.

"Semua calon sudah tentu akan meneruskan hasrat manakala kami menghormati keputusan baginda (Tengku Hassanal).

"KHM akan meneruskan perjuangan dan kami akan terus mempunyai hubungan erat dengan pihak istana," katanya di Bukit Jalil hari ini.

Situasi ini bermakna, jawatan timbalan presiden lelaki pula menyaksikan pertembungan di antara Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Perundangan KHM, Jadadish Chandra Bipin Chandra.

Lebih menarik Naib Presiden, Datuk Manjit Majid Abdullah, yang sebelum ini mengumumkan empat lagi calon akan menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan proses pencalonan tersebut, turut membuat pusingan-u.

"Manjit telah mengumumkan beberapa nama yang mahu menarik diri, maka mereka perlu menghantar surat sekiranya (benar-benar mahu) menarik diri.

"Jika tidak, saya beranggapan mereka mahu buat pusingan-u," kata Jadadish.

Sebelum, empat calon mengumumkan penarikan diri yang diketuai Tengku Hassanal di samping tiga calon naib presiden, iaitu M Gobinathan, G Satish Kumar dan Mohd Yazid Yunus.